10 Kesilapan Perunding Hartanah Yang Perlu Dielakkan

Adat dalam setiap industri semestinya ada “nature” cabaran dan dugaannya yang tersendiri. Cabaran dihadapi sesuai dengan imbuhan pulangan yang diharapkan. Samada anda bekerja makan gaji atau perniagaan sendiri, sudah tentu “nature” kerjaya tersebut diterima seadaanya sesuai dengan keadaan kemahiran, jiwa, dan kesabaran kita. 

Cabaran sering digandingkan dengan kegagalan. Kegagalan bakal mematangkan kita dalam kerjaya tersebut. Melakukan kesilapan menjadi lumrah dalam pembelajaran. Lagi banyak kegagalan dan kesilapan, maka lagi mahir kita dalam kerjaya tersebut. Kerana kita dah pernah buat sesuatu kesilapan, maka kita akan banyak belajar dan perbaiki langkah kerja kita selepas itu. 

Baik, disini saya ingin kongsikan 10 kesilapan yang sering dilakukan seorang perunding hartanah yang perlu dielakkan supaya anda konsisten dan kekal relevan dalam industri:

1. TIADA MATLAMAT YANG INGIN DICAPAI 

Langkah kita akan lebih laju dan tenang melalui cabaran apa bila kita jelas dengan matlamat yang ingin dicapai. Maksud matlamat disini ialah, dengan menjadi perunding hartanah, apa matlamat jangka masa pendek (bulanan ke setahun) dan jangka panjang anda berada dalam bidang ini. 

Contohnya, anda ingin capai RM 10k sebulan sebagai pendapatan yang sesuai dengan komitmen keluarga anda. Jadi, anda sedia maklum, perancangannya ialah mesti ada listing yang secukupnya. Jika nisbah “conversion” kepada jualan dari listing yang ada 5:1. Maka anda perlu pastikan anda ada sekurangnya 5 listing yang bernilai RM 500k yang “handsome” untuk dijual untuk memastikan yang anda boleh “close” sekurangnya satu listing pada bulan tersebut.  

Bagaimana pula jika target anda RM 20k sebulan. Sudah tentu anda perlu ada lebih dari 10 listing yang berkualiti untuk pastikan sekurangnya 2 listing dapat dijual pada bulan tersebut. Begitulah seorang perunding hartanah akan mula menyusun kerja bila jelas dengan matlamat yang ingin dicapai. Anda tidak akan duduk diam kalau inventori listing anda baru ada 2 jika matlamat bulan tersebut ingin capai RM 10k sebulan. Anda akan rajinkan diri buat “cold call” dan cari prospek pemilik yang ingin melantik anda sebagai perunding hartanah menjual rumah mereka. 

Begitu juga matlamat jangka masa panjang. Anda mempunyai impian untuk memiliki agensi hartanah sendiri satu hari nanti. Berbekalkan matlamat dan impian yang jelas, anda akan tenang dan sabar melalui setiap liku cabaran kerana faham dengan “nature” laluan tersebut. 

2. MOTIVASI YANG RENDAH 

Ini berkait rapat dengan kesungguhan bekerja kita dan keinginan melakukan sesuatu. Ukurannya bergantung kepada betapa “laparnya” anda dengan kejayaan. Diselarikan dengan “dahaganya” anda dengan pentinnya untuk berjaya. 

Sering disebut sebagai “YOUR BIG WHY”. Tujuan besar dalam kehidupan yang ingin dicapai dari kepayahan, cabaran dan rintangan yang dilalui. Kebergantungan kepada hasil dari kejayaan itu menjadi fokus utama kesungguhan. Erti kata lain, anda tiada pilihan lain melainkan berjaya sahaja. Maka, kita akan buat apa sahaja yang perlu untuk berjaya “whatever it takes”. 

Keajaiban tenaga kuasa yang terlahir dari BIG WHY ini memang tak dapat diduga. Dengan terbayangnya wajah insan yang tersayang di minda, melahirkan satu kuasa paksa “driving force” yang menakjubkan sehingga anda sanggup lakukan apa sahaja untuk berjaya. 

Anda sanggup berjumpa client yang duduk jauh di utara semata-mata untuk dapatkan tandatangannya. Sanggup menunggu dalam kereta berjam-jam semata-mata menunggu ketibaan client yang ingin “view” rumah. Berjaya atau tidak belakang kira, yang penting anda usaha. Anda tak kisah bekerja berjumpa client sehingga lewat malam untuk terangkakn prosedur pembelian rumah. Anda tenang bekerja pada hari “weekend” tatkala orang lain bersenang lenang berehat. Ini semua contoh kesanggupan yang dilakukan untuk mencapai kejayaan. 

BIG WHY setiap individu berbeza-beza. Ada perunding hartanah yang saya jumpa, meletakkan kenapa dia perlu berjaya? Kerana BIG WHY nya adalah ingin menjaga kedua orang tuanya yang sedang uzur. Perlukan kewangan yang banyak untuk bantu perubatan mereka. 

Saya tertarik dengan seorang perunding hartanah wanita tu, dia sanggup berdiri setiap hari di shopping complex Alamanda untuk mengedar flyers. Berdiri tanpa rasa segan silu dan hulur flyers kepada setiap orang yang lalu. Kadang, pada hari “weekend” dia edar flyers sambil ditemani dan mendukung anaknya yang masih kecil. 

Persoalannya kenapa dia sanggup lakukan begitu? Tak penat ke? Tak segan ke apa orang nak kata? Mengapa dia sanggup? Kerana dia jelas dengan BIG WHY nya yang perlu berjaya demi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi dan menyara anaknya yang autism. 

Jadi, definasikan secara jelas dalam hidup kita.. Cari tujuan sebenar perlunya anda untuk berjaya. Maka ia akan sangat membantu anda melalui setiap cabaran, tomahan, sindiran dengan tenang kerana anda hanya KEJAYAAN sahaja sebagai pilihan. 

3. TAKUT BUAT KESILAPAN (FEAR OF MAKING MISTAKES) 

Sering saya melihat ramai perunding hartanah yang baru biasanya mempunyai “penyakit” ini. Kebimbangan melakukan kesilapan itu terlalu tinggi sehingga sanggup tak melakukan apa-apa. Walaupun selepas dah melalui pelbagai kelas pembelajaran, latihan dan “guide” dari seniors, tapi takut tersilap langkah sering menjadi jelmaan besar setiap hari dan menghentikan niat untuk bermula. 

“The 1st step is always the most difficult”. Selagi tak mulakan langkah, selagi tak bercakap dengan client, selagi tak bawak orang “view” rumah, selagi itulah anda takkan dapat pembelajaran sebenar kerjaya tersebut. 

Bak kata pepatah “failure is the best teacher”. Kita hari ini yang lebih kemas melangkah dan bijak mengatur strategi kerja banyak telah dilatih dari kegagalan kita yang lampau. Menurut kajian, ramuan kejayaan terdiri dari pembelajaran hanya 20% sahaja, 80% lagi ialah tindakan “action” yang kita buat. Kejayaan akan lebih bersinar menjelma bila kita sering melakukan tindakan.

Jangan bimbang, kesilapan wajib berlaku kerana ianya sebahagian dari pembelajaran. Ambil setiap kesilapan yang berlaku sebagai tuan guru kita. Jangan terlalu lama sedih dan kenangkan kesilapan yang berlaku. Kemaskan langkah dan jadikan kesilapan lalu sebagai panduan.   

Cuma kebimbangannya ialah, sekiranya kita tidak belajar dari kesilapan yang lalu, maka kemungkinan untuk melakukan kesilapan yang sama akan berulang kembali. 

4. SIKAP BERTANGGUH-TANGGUH (PROCRASTINATION) 

Antara sikap negatif yang berada dalam carta kegagalan sebagai perunding hartanah ialah apabila adanya sikap sambil lewa, suka bertangguh-tangguh dan mengambil benda terlalu mudah. 

Anda tidak teruja dengan “client” yang ingin “view” rumah segera. Anda sanggup tangguhkan dulu ke minggu depan tanpa ada sebarang keadaan alasan yang menggangu pun sebenarnya. Semata-mata kerana anda malas nak layan jap. Alih-alih bila anda dah bersedia nak bawa dia, dia respon, maaf saya dah beli dengan perunding hartanah lain. 

Selepas membuat “inspection” sebuah rumah untuk dijual, sudah tentu anda teruja untuk buat iklan dengan segera supaya cepat dapat perhatian pembeli. Tapi jika ada sikap suka tangguh, silap-silap anda tak perasan pun selepas 2 bulan, anda tak naikkan pun iklan rumah tersebut. Sedar-sedar rumah tu dah jual pun oleh perunding hartanah lain dengan hasil komishen sebanyak RM 15,000 mungkin. Menyesal pun tak guna dah. “Kalaulah aku naikkan iklan hari tu cepat, mungkin aku yang jual”. Anda akan tenggelam dalam lautan “kalau” kerana penyesalan dengan kesilapan itu. 

5. CEPAT PUTUS ASA

Kerjaya ini bukanlah satu proses yang mudah. Ia mengandungi “nature” cabaran dan rintangannya yang tersendiri. Sebab itu pulangan yang disajikannya tinggi. Gabungan kesabaran dan komitmen yang tinggi, memungkinkan terjadinya hasil yang luarbiasa dari jangkaan kita. 

Namun, sikap putus asa akan sentiasa “berbisik” di telinga dan minda kita. 

“Sudah-sudah la tu, market teruk sekarang, mana ada orang nak beli”. 

“eleh, kalau naik iklan pun, bukan ada orang nak telefon”.   

“Naik jemu dah aku bawa client view rumah ni, takde satu pun sangkut”

“Habis dah duit aku buat iklan, takde pun orang call”

Ini semua dialog biasa yang saya dengar tatkala signal putus asa makin jelas kelihatan. Menjadikan alasan yang cukup tenang untuk berundur dan putus asa. 

Satu sahaja yang saya boleh bagi tips pantas atasi putus asa iaitu, siapalah kita nak persoalkan hasil? Adakah kita punyai kuasa untuk memaksa orang tertarik dengan iklan kita? Boleh ke kita paksa orang beli rumah yang kita bawak viewing? Siapa kita nak kata, orang ni confirm tak boleh jual? 

Kuatkan kembali akidah dan kebergantungan kita kepada ALLAH yang MAHA Pemberi rezeki. Yakin dengan setiap ketentuanNYA yang sentiasa ada hikmah kebaikan disebaliknya. 

Jadi tipsnya ialah, sentiasa fokus untuk BERUSAHA tanpa risaukan hasilnya. Lumrah kita sebagai hamba usahakanlah sebaiknya. Selebihnya serahkan kepada NYA untuk tentukan rezeki yang baik dari usaha kita itu.  

6. SENANG LARI FOKUS 

Kadang kita akan diuji tatkala “sales” kita drop. Iklan pun sendu je takde orang telefon. Bisikan iklan bisnes dan kerjaya lain mula menjadi menarik di mata kita. Belum sempat pun kita mahir dengan kerjaya kita ni pun, dah bertukar ke kerjaya lain dah. Baru sikit usaha, belum sempat rasa hasil lagi, dah tak tahan, nak tukar ke kerjaya lain.

Keindahan hasil kerjaya lain mula menjadi igauan dan menggangu kesungguhan untuk berjaya sebagai perunding hartanah.  

Ini satu penyakit yang sangat merbahaya. Jika kita ini senang untuk lari perhatian, memang sampai bila pun kita takkan mahir satu-satu bidang itu kerana fokus kita terlalu mudah untuk ditarik dan dialihkan.  

7. PENGURUSAN PERNIAGAAN YANG LEMAH 

Menjadi seorang perunding hartanah ini ibarat menjadi usahawan perniagaan anda sendiri. Anda lah bos, pengurus, kerani, runner dan sebagainya. Sebagai permulaan sebagai seorang individu perunding hartanah, lumrahnya memang begitu. Anda perlu lalui semua perkara dulu sebelum anda kemudian nanti mula mencari pembantu untuk bantu beberapa urusan proses kerja anda. 

Pengurusan perniagaan sebagai seorang perunding hartanah berkait rapat dengan:

  • Pengurusan listing yang kemas. 
  • Jadual viewing yang disusun dengan jelas. 
  • Menguruskan bayaran deposit, transaksi proses sehingga selesai dengan baik.
  • Pengurusan akaun, komishen diterima, perbelanjaan yang terlibat dan cukai pendapatan yang perlu dijelaskan. 

Jika semua diatas ini dapat diuruskan dengan baik, maka kestabilan kerjaya dapat dipastikan kerana semua perkara kemas tersusun.  

8. KEINGINAN UNTUK BELAJAR YANG RENDAH 

Kepesatan perubahan dalam undang-undang, pengenalan aplikasi dan software melakukan iklan, sistem pemudah transaksi dan teknik terkini menjual dengan teknologi menjadikan kita perlu sentiasa pastikan diri kita “update” dengan semua ini. 

Kebergantungan kepada ilmu yang lama dan skill menjual yang tradisional akan membuatkan perkhidmatan kita akan jadi tidak relevan.  

9.  KEMAHUAN UNTUK BERUBAH YANG RENDAH 

Teringat satu kursus intensif pernah saya hadiri yang dianjurkan oleh Kane Minkus dari Industri Rockstar. Beliau bertanyakan, apakah perkara yang paling susah dalam hidup? Jadi kami sebagai peserta mula mengangkat tangan dan menjawab. Susah nak buat sales, susah nak fokus, susah nak follow up, susah nak konsisten. Ini antara jawapan kami ketika itu. 

Bagus, semuanya tidak salah. Betul, apa yang anda senaraikan itu memang semuanya susah. Tapi, yang paling susah dalam hidup sebenarnya ialah UNTUK BERUBAH “TO CHANGE”. 

Keselesaan kita pada cara kita yang sedia ada walaupun ianya tidak lagi relevan dan terbukti tidak berjaya menjadikan keinginan untuk BERUBAH itu sangat rendah. Kita sanggup rugi dan malah lebih parah lagi tutup perniagaan dari sanggup melakukan perubahan. 

Jadi pesan saya disini ialah, sering lakukanlah PERUBAHAN walaupun ianya kecil dalam kerjaya kita ini. Meskipun  kesannya bukanlah dalam jangka masa pendek dan tidak nampak lagi, namun impaknya akan menyusul dalam jangka masa yang panjang. 

10. SUKA LARI DARI MASALAH

Tertarik saya dengan perkongsian oleh Tuan Azlan Al Amin, penulis buku Rahsia Pengutip Sampah Menjadi Jutawan. Kami jemput beliau didalam salah satu sesi “monthly gathering” kami. 

Usahawan memang tidak boleh lari dari masalah. Kerana dengan adanya masalah, maka adanya usahawan, bila usahawan mampu selesaikan masalah, maka terhasillah duit. 

Sambungnya lagi, jadi apabila kita berdepan dengan masalah, perkara pertama kita perlu lakukan ialah “berdamai dengan masalah” tersebut. Jangan bermusuh dengan masalah. Siapa suka musuh? 

Menarik kan nasihat beliau ini? Saya rasa nak bangun salam cium tangannya ketika itu kerana beberapa rangkap nasihatnya itu telah merungkaikan dilema yang sering menjadi igauan setiap perunding hartanah. 

Masakan kita boleh pastikan setiap fail yang kita urus itu tiada masalah langsung. Sudah tentu ia datang dengan pakej cabaran dan masalahnya yang tersendiri. Baik dari segi dokumen hakmilik, pembeli, penjual atau undang-undang sekatan yang terlibat. 

Selalu menjadi pilihan kita ialah lari….kerana dengan lari itu kita dapat selesaikan masalah dan tak perlu peduli dah kata kita. Namun, itulah yang selalu menjadi kekeruhan yang besar di kemudian hari. Dalam tak sedar masalah yang asalnya kecil sudah bertukar menjadi masalah yang terlalu besar untuk kita selesai kerana kita memilih untuk lari dari awal lagi. 

Kata akhir pesanan saya ialah,
“If you keep on running from problem and challenges whenever it appears,
then you will keep on running the rest of your life”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dapatkan Info Terkini Dari Erman Taib!

Saya akan bagi info, artikel, video dan produk percuma khas untuk anda.. Jangan terlepas!