Kekeliruan ini memang biasa berlaku di dalam masyarakat. Ini kerana pada pandangan awam, ejen hartanah, perunding hartanah adalah gelaran yang sama kerana keduanya menjalankan aktiviti dan tanggungjawab yang sama. Malah ada yang kadang tersilap panggilan dengan gelaran broker. Gelaran ini memang sangat tidak sesuai. Kerana broker dikaitkan dengan ejen hartanah yang tidak berdaftar dengan LPPEHPH.
Secara asasnya memang tak salah dari perspektif pandangan umum jika sering samakan diantara perunding hartanah dan ejen hartanah, namun terdapat beberapa perbezaan besar diantara Perunding Hartanah dan Ejen Hartanah.
Untuk memudahkan pemahaman, suka saya terangkan tangga kerjaya karier sebagai perunding hartanah. Ia mempunyai 3 langkah tangga iaitu :
- Perunding Hartanah / Real Estate Negotiator (REN)
- Ejen Hartanah Percubaan / Probationary Estate Agent (PEA)
- Ejen Hartanah Berdaftar / Registered Estate Agent (REA)
1. PERUNDING HARTANAH / REAL ESTATE NEGOTIATOR (REN)
Perunding hartanah dilantik oleh Ejen Hartanah Berdaftar (Registered Estate Agent) untuk menjalankan transaksi jual beli hartanah. Boleh dikatakan juga sebagai pembantu ejen hartanah dalam sebuah agensi hartanah. Bila perunding hartanah jual rumah, komisyen akan dibahagi antara perunding hartanah dan agensi mengikut peratusan (%) yang dipersetujui. Peratusan komishen seorang perunding hartanah berbeza mengikut tawaran agensi. Tapi, asasnya yang dibenarkan oleh LPPEHPH ialah 40% kepada perunding hartanah.
Untuk menjadi REN mudah sahaja. Hanya perlu sertai dan hadir kursus Negotiator Certification Course (NCC) selama 2 hari sahaja. Selepas peroleh sijil NCC, boleh mendaftar dengan LPPEHPH, bernaung dibawah sebuah agensi dan boleh mulakan langkah menguruskan jualan “client”. Selepas itu fokus dan bina pendapatan seberapa banyak yang mungkin.
Bilamana seorang perunding hartanah itu mula memasang impian dan cita-cita untuk miliki agensi hartanah sendiri, maka mereka perlu melalui satu fasa pembelajaran yang saya kenali sebagai fasa akademik. Selepas lulus fasa ini, boleh daftar dengan LPPEHPH untuk menaiki tangga seterusnya iaitu Ejen Hartanah Percubaan.
2. EJEN HARTANAH PERCUBAAN / PROBATIONARY ESTATE AGENT (PEA)
Apabila mendaftar dengan LPPEHPH sebagai seorang PEA, anda akan dapat no PEA anda. No REN anda sebelum ini secara automatik terhapus selepas anda menerima no PEA.
Untuk fasa karier ini, ia bergantung kepada anda untuk teruskan sekiranya masih bersemangat dengan cita-cita untuk memiliki agensi hartanah sendiri.
Ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan sepanjang dalam fasa karier ini. Iaitu:
i. 2 tahun diari kerja / “work diary”.
Iaitu catitan kerja harian anda sebagai seorang perunding hartanah selama 2 tahun. Perlu ditandatangani oleh penyelia anda iaitu seorang Ejen Hartanah Berdaftar.
ii. Rekod Pengalaman Kerja / Record of Experience (ROE)
Ia mengandungi penceritaan pengalaman anda selama 2 tahun dalam kerjaya sebagai perunding hartanah. Apa yang anda telah pelajari, warna warni pengalaman anda. Diakhirnya anda akan senaraikan semua fail “listing” yang pernah anda lakukan selama 2 tahun tersebut.
iii. Tugasan Kerja 1 & 2 / Task 1 & Task 2
Anda perlu menyediakan 2 kertas kerja ini untuk melayakkan anda menghadiri sesi temuduga dengan LPPEHPH.
TASK 1 – Mengisarkan penceritaan anda seluruh proses anda lalui dalam menguruskan satu “listing” sehingga akhir. Bermula dari sumber bagaimana anda mendapatkan “listing” anda itu sehinggalah ke penyerahan kunci “vacant possession”. Semua bukit perbualan, iklan, dokumen dan gambar dimasukkan secara terperinci didalam laporan tugasan ini.
TASK 2 – Mengandungi kertas kerja cadangan pemasaran / marketing proposal anda kepada pemaju untuk dapatkan lantikan kepada agensi anda untuk menjual projek tersebut. Ia mengandungi maklumat lengkap cadangan rangka kerja pemasaran anda kepada pemaju dalam meyakinkan semua unit yang dibina bakal terjual dengan melantik agensi anda.
iv. Menghadiri Temuduga Dengan LPPEHPH
Selepas semua dokumen diatas dihantar ke LPPEHPH, anda layak untuk menduduki temuduga. Temuduga tersebut biasanya akan mengambil masa diantara 2 ke 3 jam. Soalan temuduga merangkumi teknikal penyediaan Task 1 dan Task 2 anda dan separuh perjalanan temuduga lagi akan diisi dengan soalan berkaitan undang-undang hartanah dan bidang perundingan hartanah.
3. EJEN HARTANAH / REAL ESTATE AGENT (REA)
Selepas LULUS semua fasa diatas, dihari inilah semua impian yang dibina seorang perunding hartanah membina agensi hartanahnya sendiri menjadi kenyataan. LPPEHPH akan mengeluarkan satu surat rasmi menyatakan anda layak untuk membuka agensi hartanah anda sendiri.
Anda akan mula mendaftar dengan LPPEHPH untuk dapatkan nombor pendaftaran ejen hartanah anda (Registered Estate Agent No). Dapatkan kelulusan nama dan seterusnya buka syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Selepas semuanya selesai, seorang ejen hartanah akan mula melakukan kerja merekrut perunding hartanah seramai 50 orang dibawahnya. Menyediakan latihan, kelas pendidikan dalam membantu perunding hartanah berdaftar dengannya memulakan dan meneruskan kerjaya mereka dengan jayanya.





